Pendahuluan
Istilah “Islam Liberal” pertama kali digunakan oleh para penulis Barat seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman. Binder menggunakan istilah ‘Islamic Liberalism’, sementara Kurzman memakai istilah ‘Liberal Islam’. Secara tersirat kedua-duanya mempercayai bahawa Islam itu banyak; ‘Islam Liberal’ adalah salah satunya. Namun sebelum kita melanjutkan perbincangan ini, pertamanya kita mesti nyatakan dahulu bahawa Islam itu satu dan tidak banyak. Yang nampak banyak sebenarnya adalah ‘mazhab’ dalam Islam, bukan Islam itu sendiri. Jadi istilah ‘Islam Liberal’ yang kita maksudkan disini adalah “Pemikiran Islam Liberal” yang merupakan satu aliran berfikir baru dikalangan umat Islam.
Kemudian perkara yang kedua yang kita perlu jelaskan juga adalah, pemikiran Islam liberal ini tidak termasuk dalam mazhab Islam. Mengapa? Kerana mazhab-mazhab dalam Islam tetap merujuk pada induk yang sama, yang disepakati, yang satu, yang mapan, yang dipersetujui oleh seluruh umat Islam dari dahulu sehingga kini, di berbagai negeri dan lokaliti. Adapun pemikiran Islam liberal, ia adalah suatu pemikiran yang berupaya membebaskan dan ‘meliberalkan’ umat Islam dari Islam yang satu, yang disepakati, dan Islam yang sudah mapan (established) itu. Secara ringkasnya pemikiran Islam liberal tidak dapat dikatakan sebagai mazhab Islam kerana pemikiran ini bertujuan ‘meliberalkan’ dan merongkai takrif Islam yang telah dipersetujui oleh seluruh umat Islam tadi.
Natijah dari penjelasan pertama dan kedua di atas, maka lahirlah penjelasan ketiga yang perlu kita nyatakan juga, iaitu bahawa pada hakikatnya pemikiran Islam liberal bukan pemikiran Islam yang sebenarnya, malah lebih tepat untuk dikatakan bahawa pemikiran Islam liberal adalah pemikiran liberal yang ditujukan kepada Islam. Oleh itu tidak patut nama pemikiran Islam itu disandarkan padanya. Namun sebagai bahan perbincangan kita, tidak ada salahnya kita gunakan juga frasa ‘pemikiran Islam liberal’ untuk memudahkan wacana dan syarahnya. Sama seperti al-Qur’an menggunakan perkataan ‘tuhan’ secara kiasan (majazi) untuk sesuatu yang disembah oleh kaum musyrikin, padahal al-Qur’an pada masa yang sama menyatakan bahawa ‘tidak ada tuhan melainkan Allah’.
Akar-Akar Pemikiran Islam Liberal
Pemikiran Islam liberal berpuncak dari pengaruh pandangan hidup Barat dan peradabannya yang hegemonic dan mendominasi semua bidang kehidupan dewasa ini. Ia merupakan percampuran antara pemikiran ‘modernism’ yang cuba memberikan tafsiran Islam yang sesuai dengan ‘modernity’ dan pemikiran ‘post-modernism’ yang cuba melakukan ‘deconstruction’ terhadap segala pemikiran yang sudah mapan (established). Namun dapat dikatakan bahawa dalam pemikiran Islam liberal pengaruh pemikiran ‘post-modernism’ lebih ketara. Upaya untuk merombak (deconstruct) segala yang sudah mapan dalam Islam, merupakan ciri utama pemikiran ini. Takrif Islam yang telah mapan, misalnya, perlu diliberalkan dan dirombak, sehinga orang bukan Islam pun dapat dikatakan sebagai Muslim, dan agama selain Islam pun dapat ditafsirkan sebagai Islam juga. Al-Qur’an dalam bentuknya sebagai Mushaf Uthmani yang telah disepakati oleh semua kaum Muslimin, baik Sunni maupun Syi’ah, juga perlu kapada ‘deconstruction’, kononnya untuk mendapatkan wahyu Tuhan yang asal sebelum Khalifah Uthman merasmikan mushafnya untuk seluruh kaum Muslimin.
Pemikiran Islam liberal juga memanfaatkan dan mendapatkan modal murah dari radikalisme yang terjadi pada sebahagian kaum Muslimin. Reaksi mereka bukan hanya tertumpu kepada golongan radikal dari kalangan kaum Muslimin semata-mata, namun kepada Islam dan sumber-sumber Islam yang telah disalah anggap sebagai sumber radikalisme oleh mereka. Hal ini sejalan dengan fahaman Barat terhadap Islam pada hari ini bahawa ajaran-ajaran Islam itu sebati dengan terorisme dan pengahalang kepada kemajuan peradaban sekular mereka. Dalam hal ini politik Barat sudah tentu mempergunakan para pemikir Islam liberal untuk merongkai dan membongkar (deconstruct) simpul-simpul Islam yang kukuh dari dalam tubuh umat Islam sendiri. Barat melihat ajaran Islam sebagai benteng penghalang globalisasi peradaban sekular yang perlu diruntuhkan (deconstruct) terlebih dahulu menerusi para pemikir liberal ini.
Dalam upaya meruntuhkan bangunan ajaran Islam yang kukuh, pemikiran Islam liberal tidak segan silu mengambil kajian-kajian orientalis, metodologi kajian agama lain, ajaran human right dalam konteks humanisme Barat, falsafah sekularisme, dan pandangan-pandangan yang bercanggah dengan Islam. Untuk menyempurnakan penyamaran mereka terhadap kaum Muslimin awam dan supaya tetap dikatakan pemikiran itu sebagai bahagian dari Islam, pemikiran Islam liberal juga menggunakan bahan-bahan dari turath dan persuratan Islam dengan mengambil bahan-bahan yang kontroversial dan marginal. Alasan mereka, bahan-bahan yang menyokong mainstream Islam adalah hasil dari persekongkolan para ulama dan para penguasa di zaman dahulu. Bahan-bahan itu adalah ‘construction’ ulama yang perlu kepada ‘deconstruction’ supaya pemikiran umat Islam bertambah maju, seiring dengan kemajuan sekularisme Barat.
Oleh: Dr. Ugi Suharto
International Islamic University Malaysia
International Islamic University Malaysia